Bahasa Malaysia / English     Bahasa Cina / 中文
    Sejarah   Berita   Sekolah/Persatuan   Tarikan  

page 1 of 1

Ringkasan Sejarah Kampung Baru Rawang
Laluan Kabel Voltan Tinggi menusuk Hati Penduduk
 
Produksi khas i-kgbaru.com
 
 
Sejarah Rawang bermula di Sungai Rawang.
 
Mengikut penterjemahan kamus Melayu, Rawang bermaksud kawasan hutan paya. Mengikut catatan sejarah, Sungai Rawang merupakan kawasan paya bertanah selut pada awalnya. Begitulah Rawang mendapat namanya.
 
Sebutannya dalam bahasa Cina adalah terbalik dengan bahasa Malaysia iaitu “Wang Ra”. Mengikut kata-kata warga emas tempatan, ianya disebabkan oleh bacaan ayat dalam bahasa Cina dahulu yang bermula dari kanan ke kiri. Ini adalah berbeza dengan bacaan tulisan roma yang sebaliknya menerusi papan tanda jalan pada masa dahulu.
 
Ada juga yang mengatakan bahawa pendatang Cina yang awal rasa terbalikkan sebutan Rawang lebih lancar dan membawa maksud yang lebih bagus.
 
Apa sekalipun cerita yang diturunkan, sebutan Rawang adalah lebih mirip kepada dialek orang Hakka. Ini kerana orang Hakka dari Wilayah Hui Zhou merupakan pendatang Cina yang mula-mula bertapak dan menjalankan kerja melombong di Rawang.
 
Cerita penerokaan Rawang harus dimulakan dengan Kanching.
 
Kanching merupakan kawasan perlombongan bijih timah yang kedua diterokai di negeri Selangor.
 
Dianggarkan ia dibuka iaitu hanya lewat sedikit dari kawasan perlombongan Lukut yang dibuka pada tahun 1825.
 
Yah Ah Sze merupakan pengusaha lombong bijih timah dari keturunan Hakka yang paling awal menjalankan usaha melombong bijih timah di Kanching. Beliau telah mengasaskan Syarikat Perlombongan Si Hup pada tahun 1840. Sejak itu, beliau telah menerajui sektor perlombongan di Kanching.
 
Raja Abdul Samad yang merupakan anak saudara kepada Sultan Selangor turut menghantar wakil untuk membuat tinjauan dan dalam masa yang singkat telah membuka beberapa buah lombong bijih timah di Kanching.
 
Penemuan hasil bijih timah telah membawa kemajuan kepada Kanching dalam sekelip mata. Seorang pengusaha lombong bijih timah yang amat dihormati iaitu Tsin Kin telah dilantik sebagai Kapitan. Tugas beliau ialah membantu menguruskan hal ehwal pendatang Cina di Kanching.
 
Selepas Abdul Samad ditabalkan sebagai Sultan Selangor pada tahun 1859. Anak sulung baginda iaitu Raja Musa telah menghantar Tan Ah Chuan dan Siao Jin Wu untuk membuka lebih banyak lombong bijih timah yang baru. Kedua-dua mereka adalah dari keturunan Kah Ying Chew.
 
Menjelang tahun 1860-an, Lembah Kelang telah dikuasai dua kongsi gelap dari keturunan Hakka iaitu Hakka dari Kah Ying Chew di Kanching, manakala Ampang dan Kuala Lumpur dikuasai oleh Hakka dari Hui Zhuo. Kedua-dua kumpulan tersebut sentiasa bertelagah sepanjang masa.
 
Semasa perang saudara Selangor, musuh Yap Ah Loy iaitu Chong Chong telah membunuh Yap Ah Sze di Kanching. Chong Chong telah melarikan diri ke Rawang selepas Yap Ah Loy membuat serangan ke atasnya di Kanching.
 
Pada tahun 1871, Yap Ah Loy sekali lagi membuat serangan ke atas Chong Chong di Rawang. Chong Chong telah tewas dan terbunuh dalam Pertempuran Rawang yang amat terkenal tersebut.
 
Sebenarnya pendatang Cina dari keturunan Hakka telah menjalankan aktiviti melombong bijih timah di Rawang sejak awal tahun 1860-an. Tokong Sze Yeah Kong yang dibina pada tahun 1869 iaitu selang 5 tahun selepas pembinaan Tokong Sin Sze Si Ya di Kuala Lumpur menjadi bukti kepada kesahihan sejarah tersebut.
 
Dengan kata lain, sejarah pembukaan Rawang telah memasuki tahun ke 150 pada hari ini.
 
Selain itu, Tokong Guan Yin yang dibina oleh sekumpulan pendatang Cina dari keturunan Hokkien telahpun berusia lebih daripada 130 tahun.
 
Pada tahun 1882, syarikat pemilikan orang British iaitu Rawang Tin telah mendapat kontrak melombong bijih timah bertempoh 30 tahun dari Sultan Selangor. Kontrak itu termasuk suatu kawasan lombong yang keluasannya 1119 ekar tanah lombong.
 
Pada tahun 1898, taikon bijih timah iaitu Loke Yew telah bergabung dengan saudagar India Thamboosamy Pillay dan membuka sebuah kawasan perlombongan besar di Rawang. Syarikat tersebut juga merupakan syarikat yang pertama menggunakan kuasa lektrik untuk melombong bijih timah.
 
Pelancaran landasan keretapi dari Kuala Lumpur ke Rawang pada November 1892 telah merangsang lagi sektor perlombongan bijih timah di Rawang. Pada awalnya, Batu 18 Rawang merupakan perkampungan terawal didirikan. Tapak Jalan besar Pekan Rawang pada hari ini merupakan tapak yang baru diterokai selepas tapak lama di Batu 18 ditenggelami banjir.
 
Pada ketika itu, Kanching jauh lebih maju berbanding dengan Rawang. Mengikut catatan Ringkasan Sejarah SJK (C) San Yuk, Rawang merupakan kawasan terpencil dengan penduduk yang jarang sewaktu sekolah itu ditubuhkan pada tahun 1917. Kebanyakan penduduk tertumpu di Kanching pada masa itu.
 
Sekolah tersebut yang menduduki di atas dua buah kedai di Jalan Maxwell adalah kedai yang terawal di situ. Kawasan sekelilingnya merupakan tanah lapang dan pondok beratap.
 
Catatan orang British menyatakan sehingga tahun 1920, harimau masih sering keluar menyerang penduduk tempatan.
 
Kanching pernah diduduki ribuan penduduk semasa kepesatan pengeluaran bijih timah. Namun begitu ia telah susut menjadi ratusan orang sebelum Perang Dunia Kedua akibat kejatuhan harga bijih timah.
 
Selepas perang, terdapat lagi puluhan keluarga telah berpindah ke Jinjang menjelang zaman darurat.
 
Kejatuhan Kanching telah membawa kegemilangan kepada Rawang.
 
Dalam zaman kemuncak pada tahun 1930-an, Rawang amat sibuk sekali dengan lalu-lalang basikal yang tidak berhenti. Kepesatan pusat-pusat hisap opium dan hiburan menjadikan Rawang sebuah tempat maksiat. Rawang telah melalui zaman keemasan yang pertama dengan kenaikan sektor penanaman pokok getah.
 
Menjelang pengisytiharan Perintah Darurat pada tahun 1948, pendatang Cina telah dipindah dan ditempatkan semula bagi mematahkan hubungan mereka dengan PKM.
 
Penduduk yang tinggal di sekitar Kuala Kerang, Sungai Choh, Batu 16 dan lain-lain telah ditempatkan semula dalam kampung Baru Rawang yang dibuka iaitu kira-kira 2 km dari Pekan Rawang menuju ke Selayang.
 
Kampung Baru Rawang ditubuhkan pada tahun 1951 dengan keluasan 50 ekar. Kebanyakan penduduknya terdiri dari orang Hakka dengan minority penduduknya ialah orang Guang dong dan Hokkien.
 
Pada awalnya, sektor perlombongan dan peladangan getah merupakan aktiviti yang utama. Ada juga yang bekerja sebagai penanam sayur dan penternak babi. Selepas kejatuhan bijih timah dan getah pada tahun 1970-an, tanaman kelapa sawit mula mengambilalih dan menjadi punca pendapatan yang utama.
 
Pertumbuhan ekonomi Rawang pernah menurun satu ketika. Namun dengan kepesatan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 1980-an, Rawang telah mengorak langkah ke arah pembangunan industri dan komersial. Sektor perindustrian telah mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
 
Menjelang tahun 1990-an, pelancaran laluan Lebuhraya Utara-Selatan dan penyambungan khidmat Komuter hingga ke Rawang telah memberangsangkan lagi pembangunan Rawang. Penduduk tempatan tidak perlu lagi berhijrah ke bandar lain untuk mencari pekerjaan dengan adanya kewujudan plaza-plaza perniagaan dan taman-taman perumahan baru di Rawang.
 
Naik turun bilangan penduduk Rawang sepanjang abad dapat menjelaskan keadaan tersebut.
 
Semasa penubuhan Kampung Baru Rawang pada tahun 1951, jumlah penduduknya ialah 1560. Dalam tempoh 3 tahun sehingga tahun 1954, penduduk telah jatuh dengan ketara sekali kepada 486 orang.
 
Namun begitu, jumlah penduduk Kampung Baru Rawang terus meningkat selepas itu. Jumlahnya pada tahun 1970 ialah 2335 orang. Angka itu bertambah kepada 3427 menjelang tahun 1980. Dalam tempoh 15 tahun selepas itu iaitu 1995, jumlah penduduknya telah mencecak 6100 orang.
 
Pada hari ini, masih terdapat 500 keluarga yang tinggal dalam Kampung Baru Rawang. Cuma jumlah penduduknya agak susut iaitu kira-kira 5000 orang akibat pemindahan penduduk ke taman-taman perumahan yang berdekatan.
 
SJK (C) San Yuk yang ditubuhkan pada tahun 1917 di Jalan Maxwell telah dipindahkan ke dalam Kampung Baru Rawang pada tahun 1951. Kini ia mempunyai 3440 pelajar.
 
Walaupun Kampung Baru Rawang telah ditukar nama kepada Sungai Terentang, namun penduduk tempatan masih suka menggunakan sebutan yang lama.
 
Sejak dua tahun kebelakangan ini, isu laluan wayar bervoltan TNB tinggi telah menimbulkan gelombang demi gelombang di dalam Kampung Baru Rawang. Bahaya yang mungkin dibawa oleh wayar bervoltan tinggi telah menjadi duri yang menusuk di dalam hati penduduk.
 
Pada bulan Februari 2008, TNB telah mengeluarkan surat pemberitahuan pembinaan laluan wayar bervoltan tinggi di pinggiran Kampung Baru Rawang. 51 keluarga dalam kampung telah menerima arahan bertulis dari pihak TNB supaya berpindah keluar dari rumah halaman mereka.
 
Pihak penduduk kemudian telah menolak cadangan bayaran pampasan oleh pihak TNB. Mereka turut menubuhkan Jawatankuasa Mempertahankan Rumah Halaman. Penduduk-penduduk yang tidak terjejas dalam isu tersebut turut menyertai pergerakan membantah pembinaan wayar bervoltan di dalam kawasan Kampung Baru Rawang.
 
Isu tersebut masih berlarutan hingga hari ini. Tetapi apa yang pasti ialah, bantahan tersebut akan tercatat dalam sejarah Kampung Baru Rawang buat selama-lamanya. 
 
Panduan ke Kampung Baru Rawang:
 
1.Dari arah kuala Lumpur dengan jarak 20 km.
 
2.Dari arah Petaling Jaya dengan jarak 20km.
 
page 1 of 1
This site is best view with Internet Explorer version 8. Minimum screen resolution of 1024X768 pixel
Copyright © www.i-kgbaru.com Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru Kerajaan Selangor. All Rights Reserved.